Program jualan ikan murah, pembangkang tak senang duduk
PROGRAM Jualan Ikan Segar Dengan Harga Patut yang digerakkan Gabungan NGO
Malaysia dengan kerjasama Barisan Nasional (BN) di beberapa lokasi di Selangor
sejak Oktober lalu ternyata cukup istimewa di hati rakyat.
Dalam erti kata lain, tidak keterlaluan jika dikatakan rakyat Selangor
kini menanti-nanti bila Datuk Seri Jamal Md. Yunos selaku penggerak utama
program itu mahu ke kawasan mereka untuk menjual makanan laut tersebut.
Jika tidak mendapat sambutan, masakan ikan segar sebanyak lima tan dan
ayam sebanyak empat tan, licin dalam masa kurang tiga jam, selain orang ramai
sendiri sanggup beratur panjang seawal pukul 7 pagi.
Maka, sebab itulah tidak hairan apabila sudah ada pemimpin Pakatan
Harapan di Selangor yang panas punggung apabila rakyat tanpa mengira perbezaan
fahaman politik, kaum dan agama berpusu-pusu menyerbu program berkenaan.
Episod tersebut dapat dilihat di Shah Alam minggu lalu apabila Program
Jualan Ikan Segar Dengan Harga Patut itu ‘dilawati’ anggota penguat kuasa
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selepas mendapat aduan daripada wakil rakyat
Pakatan Harapan.
Lebih penting daripada persoalan itu, program murni tersebut berjaya
mematahkan cubaan Pakatan Harapan yang diketuai DAP untuk memburuk-burukkan
Kerajaan Persekutuan dalam isu kenaikan harga barang di negara ini.
Ini kerana, walaupun dianggap sesetengah pihak sebagai satu pendekatan
radikal, tetapi mahu tidak mahu mereka perlu mengakui ia memberi impak besar
kepada rakyat dari semua golongan khususnya dalam soal penjimatan perbelanjaan
harian.
Malah Jamal sudah membuktikan bahawa, harga ikan seperti ikan kembung
yang rata-ratanya dijual RM16 sekilogram, cencaru (RM9 sekilogram), manakala
ikan sardin (RM11 sekilogram) tiada sebarang kaitan dengan kerajaan.
Kenaikan itu disebabkan manipulasi harga oleh orang tengah dan sebagai
buktinya Jamal mampu menjual pelbagai jenis ikan dengan harga semurah RM5
sekilogram.
Justeru, satu persoalan perlu dilontarkan kepada Kerajaan PKR Selangor
iaitu jika program tersebut baik untuk rakyat dan berupaya pula menafikan
segala fitnah sebelum ini, mengapa mahu diganggu-gugat.
Tindakan seperti takut pada bayang-bayang sendiri itu sebenarnya hanya
menunjukkan kelemahan kepemimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin dan beliau perlu
sedar, rakyat kini sedang menilai.
0 comments:
Post a Comment