Pakatan Harapan dan masalah moral memang tak dapat dipisahkan. Daripada pemimpin atasan hinggalah ke peringkat akar umbi, mereka sering terpalit dengan perlakuan tidak senonoh. Kalau tidak terlibat secara langsung pun, mereka pasti bertindak sebagai penyokong pula.
Sebelum ini jika bercakap tentang masalah ini, kita sering melihat kepada PKR sahaja lebih-lebih lagi selepas Ketua Umumnya, Anwar Ibrahim, sudah dua kali didapati bersalah oleh mahkamah atas kesalahan meliwat. Ironinya, bukan PKR sahaja bermasalah moral. Yang lebih teruk sebenarnya ialah DAP. Parti ini memang sudah terkenal kerana mengamalkan dasar terbuka dan menggalakkan keterbukaan termasuk dalam urusan kehidupan bersosial.
Imbas kembali, pada bulan Ramadhan yang lalu, seorang pemimpin Melayu muda DAP, Numan Afifi telah menggemparkan dan menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini kerana bertindak menganjurkan majlis berbuka puasa khusus untuk golongan maknyah dan gay di Kuala Lumpur.
Di Pulau Pinang pula, sebuah jawatankuasa peringkat negeri ditubuhkan dengan kelulusan DUN dan ditaja oleh kerajaan negeri untuk menangani isu dan kebajikan golongan maknyah di negeri itu.
Pada bulan November yang lalu, Ahli Parlimen DAP Klang, Charles Santiago, mengeluarkan kenyataan rasmi di laman FBnya, menggesa supaya majlis-majlis agama Islam seluruh negara menghentikan tindakan menahan golongan pengamal seks songsang khususnya maknyah.
Tidak terhenti setakat itu sahaja, hakikatnya, lebih ramai pemimpin dan ahli DAP mempunyai pendirian menyokong dan melindungi golongan rosak moral dan akhlak ini. Mereka melakukannya atas nama kebebasan hak asasi manusia. Lebih membimbangkan, mereka ini sebahagian besarnya terdiri daripada pengamal undang-undang yang semakin berani dan lantang mencabar kedudukan Islam sebagai agama bagi persekutuan Malaysia.
Tanpa kita sedar, ini semua adalah seliratan akar yang akan mengancam rumpun perpaduan dan keharmonian kita semua dalam jangka panjang. Lambat laun kita tidak boleh lagi menguatkuasakan sebarang hukum dan undang-undang Islam di negara ini kerana sudah dikuasai DAP sepenuhnya jika ia tidak dibendung dan dihalang dari sekarang.
Adakah anda masih mahu menyokong DAP dan Pakatan Harapan amnya?
0 comments:
Post a Comment