Bekas pemimpin PKR, Dr. Syed Husin Ali menempelak permohonan
maaf yang dilafazkan oleh Pengerusi PPBM, Dr. Mahathir Mohamad ketika
menyampaikan ucapannya dalam Mesyuarat Agung Pertama parti tersebut di Shah
Alam, semalam.
Melalui satu kenyataan yang dihantar di laman Twitternya,
bekas Timbalan Presiden PKR itu mempersoalkan motif dan keikhlasan Dr. Mahathir
memohon maaf tanpa menyatakan kesalahan-kesalahan yang pernah dilakukannya
sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Dr. Mahathir sebaliknya menjelaskan bahawa permohonan maaf
yang dilakukannya secara terbuka di hadapan kira-kira 200 orang perwakilan itu hanyalah
bersifat adat semata-mata dan tidak bermaksud yang beliau pernah melakukan
sebarang kesalahan pada masa silam.
Umum mengetahui ketika eranya, Dr. Mahathir pernah memecat
Anwar Ibrahim atas kesalahan rasuah dan liwat, sesuatu yang masih tidak dapat
diterima oleh sebahagian besar para penyokong Anwar.
Peristiwa pemecatan ini juga menjadi detik-detik awal
kebangkitan Reformasi 98 dan penubuhan Parti Keadilan Nasional (PKN) yang berjuang untuk membebaskan Anwar Ibrahim.
Pada 3 Ogos 2003, PKN mengambil keputusan bergabung dengan
Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang dipimpin oleh Syed Husin ketika itu sekaligus
mengumumkan nama baharu iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas penggabungan
tersebut dimuktamadkan. Menurut sumber yang rapat dengan Wan Azizah, Syed Husin
menerima sejumlah wang sebelum bersetuju dengan penggabungan ini dan dilantik
sebagai Timbalan Presiden.
Selain itu, Dr. Mahathir juga dikenang sebagai individu yang
bertanggungjawab mengarahkan serangan ke atas penduduk Kampong Memali yang
terletak dalam mukim Siong di Baling, Kedah pada 19 November 1985.
Dalam serangan berdarah tersebut, sejumlah 14 orang
terkorban termasuk pemimpin kumpulan yang dikenali sebagai Ibrahim Libya, bekas
pegawai agama di Jabatan Perdana Menteri yang sering dijemput menyampaikan
ceramah oleh RTM sebelum beliau mengangkat senjata memerangi kerajaan pimpinan
Dr. Mahathir.
Meskipun peritiwa ini telah lama berlalu, namun persoalan
mengenai punca sebenar pemberontakan ini berlaku dan siapakah individu yang
patut dipersalahkan di pihak kerajaan, terus diperdebatkan oleh rakyat
Malaysia.
Dalam perkembangan terbaharu Dr. Mahathir dilaporkan
menyalahkan para mufti kerana gagal bertindak ke atas fatwa memerangi
pemerintah yang dikeluarkan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (kini Presiden
PAS) sehingga mendorong Ibrahim Libya dan para pengikutnya memberontak ketika
itu.
Pun begitu, bagi sesetengah pemerhati dan ahli akademik,
tindakan keterlaluan yang diambil oleh pihak keselamatan dalam menangani krisis
ini adalah amat tidak wajar. Ia sepatutnya berakhir dengan kesudahan yang lebih
baik jika tiada arahan supaya tindakan keras digunakan ke atas para penduduk kampong
dikeluarkan oleh kerajaan pada waktu tersebut.
Ini hanya dua contoh sahaja. Hakikatnya terdapat terlalu
banyak rekod dan catatan yang menunjukkan kepimpinan Dr. Mahathir dahulu
mempunyai pelbagai masalah dan kelemahan. Pada waktu tertentu, ia menjadi
sangat tidak masuk akal seperti skandal Forex yang baru-baru ini dibongkarkan
semula melalui sebuah jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk mencari kebenaran di
sebalik isu ini.
Apa pun inilah Mahathir Mohamad. Beliau pernah menangis
teresak-esak di hadapan perwakilan UMNO, mengumumkan perletakan jawatan,
diterpa oleh Rafidah Aziz dan drama ini kemudiannya berakhir dengan Mahathir kembali
ke pejabat Perdana Menteri seperti biasa keesokan harinya.
Justeru aksi Mahathir memohon maaf ketika Mesyuarat Agung
PPBM ini bukanlah suatu yang baru dan menggemparkan. Namun ia tetap unik dan
menarik. Jika tidak, masakan tokoh seperti Dr. Syed Husin Ali ini boleh
mengomentarikan perlakuan Mahathir itu secara terbuka. Beliau pun jelik,
barangkali.
Jika umur Mahathir masih panjang, kemungkinan besar kita
akan berpeluang melihat lebih banyak drama seumpama ini pada masa-masa akan
datang. Paling cepat, minggu hadapan.
#deleaks
#infoSelangor
#teamviralSelangor