JADUAL KETIGA BELAS
[Perkara 113, 116, 117]
Peruntukan yang berhubungan dengan Penyempadanan
Bahagian-Bahagian Pilihan Raya
BAHAGIAN I PENETAPAN DAN PRINSIP YANG
BERHUBUNGAN DENGAN PENYEMPADANAN BAHAGIAN-BAHAGIAN PILIHAN RAYA
1. Sehingga diubah mengikut peruntukan
Jadual ini, bahagian-bahagian pilihan raya bagi memilih ahli-ahli ke Dewan
Rakyat dan Dewan-Dewan Undangan Negeri hendaklah bahagian-bahagian pilihan raya
yang mula-mula digunakan bagi pilihan raya ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan,
mengikut manamana yang berkenaan, menurut Perlembagaan ini atau Akta Malaysia.
2. Prinsip yang berikut hendaklah
seboleh-bolehnya diambil kira dalam membahagikan mana-mana unit kajian semula
kepada bahagian-bahagian pilihan raya menurut peruntukan Perkara 116 dan 117—
(a) di samping mengambil
perhatian tentang wajarnya semua pemilih diberi peluang yang semunasabahnya
mudah untuk pergi mengundi, bahagian-bahagian pilihan raya patutlah
disempadankan supaya tidak merentasi sempadan Negeri dan patutlah juga
diberikan perhatian kepada kesulitan bahagian pilihan raya Negeri merentasi
sempadan bahagian-bahagian pilihan raya persekutuan;
(b) perhatian patutlah diberikan
kepada kemudahan pentadbiran yang boleh didapati di dalam bahagian pilihan raya
itu bagi mengadakan jentera pendaftaran dan pengundian yang perlu;
(c) bilangan pemilih di dalam
setiap bahagian pilihan raya di dalam sesuatu Negeri patutlah lebih kurang sama
banyak kecuali bahawa, dengan mengambil kira kesulitan yang lebih besar untuk
sampai kepada pemilih di dalam daerah desa dan kesukaran lain yang dihadapi
oleh bahagian-bahagian pilihan raya di luar bandar, ukuran pewajaran bagi
kawasan patutlah diberikan kepada bahagian-bahagian pilihan raya; 245
Perlembagaan Persekutuan
(d) perhatian patutlah diberikan
kepada kesulitan yang akan timbul dengan perubahan bahagian-bahagian pilihan
raya, dan kepada pemeliharaan hubungan tempatan.
3. Bagi maksud Bahagian ini,
bilangan pemilih hendaklah dikira sebagai bilangan yang ditunjukkan dalam
daftar pemilih semasa.
3A. Bagi maksud Bahagian ini,
dalam apa-apa kajian semula bahagian-bahagian pilihan raya bagi maksud pilihan
raya ke Dewan Rakyat, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan
Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya hendaklah setiap satunya dikira sebagai
suatu Negeri.
BAHAGIAN II TATACARA BAGI
MENYEMPADANKAN BAHAGIAN-BAHAGIAN
PILIHAN RAYA
4. Jika Suruhanjaya Pilihan Raya
telah memutuskan buat sementara untuk membuat syor di bawah Fasal (2) Perkara
113 yang menyentuh mana-mana bahagian pilihan raya, Suruhanjaya hendaklah
memberitahu Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Perdana Menteri dengan sewajarnya,
dan hendaklah menyiarkan dalam Warta dan dalam sekurang-kurangnya satu akhbar
yang diedarkan di dalam bahagian pilihan raya itu suatu notis yang menyatakan—
(a) kesan syor yang dicadangkan
olehnya, dan (kecuali dalam hal jika Suruhanjaya bercadang untuk mengesyorkan
bahawa tiada perubahan dibuat berkenaan dengan bahagian pilihan raya itu)
bahawa suatu salinan syornya terbuka untuk diperiksa di suatu tempat tertentu
di dalam bahagian pilihan raya itu; dan
(b) bahawa representasi mengenai
syor yang dicadangkan itu boleh dibuat kepada Suruhanjaya dalam masa satu bulan
selepas penyiaran notis itu, dan Suruhanjaya hendaklah mempertimbangkan apa-apa
representasi yang dibuat dengan sewajarnya mengikut mana-mana notis itu.
5. Jika, apabila tersiarnya notis
di bawah seksyen 4 mengenai sesuatu syor yang dicadangkan oleh Suruhanjaya
Pilihan Raya bagi mengubah mana-mana bahagian pilihan raya, Suruhanjaya
menerima apa-apa representasi membantah syor yang dicadangkan itu daripada—
(a) Kerajaan Negeri atau
mana-mana pihak berkuasa tempatan yang keseluruhan atau sebahagian kawasannya
termasuk di dalam bahagianbahagian pilihan raya yang tersentuh oleh syor itu;
atau
(b) sekumpulan orang seramai satu
ratus orang atau lebih yang nama mereka ditunjukkan dalam daftar pemilih semasa
bagi bahagian-bahagian pilihan raya yang berkenaan, 246 Undang-Undang Malaysia
maka Suruhanjaya hendaklah menyebabkan suatu siasatan tempatan diadakan
berkenaan dengan bahagian-bahagian pilihan raya itu.
6. Berhubung dengan apa-apa
siasatan yang diadakan di bawah seksyen 5 Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah
mempunyai segala kuasa yang diberikan kepada Pesuruhjaya oleh Akta Suruhanjaya
Siasatan 1950 [Akta 119].
7. Jika Suruhanjaya Pilihan Raya
menyemak apa-apa syor yang dicadangkan selepas menyiarkan suatu notis
mengenainya di bawah seksyen 4, maka Suruhanjaya hendaklah sekali lagi mematuhi
seksyen itu berhubung dengan syor yang disemak itu, seolah-olah tiada notis
dahulunya telah disiarkan: Dengan syarat bahawa tidaklah perlu diadakan lebih
daripada dua siasatan tempatan berkenaan dengan mana-mana syor itu.
8. Setelah selesai menjalankan
tatacara yang ditetapkan oleh Bahagian ini, Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah
mengemukakan kepada Perdana Menteri suatu laporan mengenai bahagian-bahagian
pilihan raya yang menunjukkan—
(a) bahagian-bahagian pilihan
raya yang kepadanya disyorkan olehnya supaya setiap unit kajian semula patut
dibahagikan untuk melaksanakan prinsip yang dinyatakan dalam seksyen 2; dan
(b) nama-nama yang dengannya
disyorkan olehnya bahagian-bahagian pilihan raya itu hendaklah dikenali, atau
menyatakan bahawa pada pendapatnya tiada perubahan dikehendaki dibuat untuk
melaksanakan prinsip tersebut.
9. Dengan seberapa segera yang
boleh selepas Suruhanjaya Pilihan Raya mengemukakan laporannya kepada Perdana
Menteri di bawah seksyen 8, Perdana Menteri hendaklah membentangkan laporan itu
di hadapan Dewan Rakyat, bersama dengan (kecuali dalam hal jika laporan itu
menyatakan bahawa tiada perubahan dikehendaki dibuat) draf suatu Perintah yang
akan dibuat di bawah seksyen 12 bagi melaksanakan, dengan atau tanpa ubah
suaian, syor yang terkandung dalam laporan itu.
10. Jika mana-mana draf Perintah yang
disebut dalam seksyen 9 diluluskan oleh Dewan Rakyat melalui ketetapan yang
disokong dengan undi sebanyak tidak kurang daripada setengah daripada jumlah
bilangan ahli Dewan itu, maka Perdana Menteri hendaklah mengemukakan draf
Perintah itu kepada Yang di-Pertuan Agong.
11. Jika usul bagi meluluskan
mana-mana draf Perintah yang disebut dalam seksyen 9 ditolak oleh Dewan Rakyat,
atau ditarik balik dengan kebenaran Dewan itu, atau tidak disokong dengan undi
sebanyak tidak kurang daripada setengah daripada jumlah bilangan ahli Dewan
itu, maka Perdana Menteri boleh, selepas mengadakan apa-apa rundingan yang
difikirkannya perlu dengan Suruhanjaya Pilihan Raya, meminda draf itu dan
membentangkan draf yang 247 Perlembagaan Persekutuan dipinda itu di hadapan Dewan
Rakyat; dan jika draf sebagaimana yang dipinda sedemikian diluluskan oleh Dewan
itu melalui suatu ketetapan yang disokong dengan undi sebanyak tidak kurang
daripada setengah daripada jumlah bilangan ahli Dewan itu,maka Perdana Menteri
hendaklah mengemukakan draf yang dipinda itu kepada Yang di-Pertuan Agong.
12. Jika draf sesuatu Perintah
dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong di bawah Bahagian ini, Yang di-Pertuan
Agong hendaklah membuat suatu Perintah mengikut kehendak draf yang dikemukakan
kepadanya itu, dan Perintah itu hendaklah mula berkuat kuasa pada tarikh yang
dinyatakan dalamnya: Dengan syarat bahawa permulaan kuat kuasa mana-mana
Perintah sedemikian tidaklah menyentuh mana-mana pilihan raya ke Dewan Rakyat
atau Dewan Undangan sehingga pembubaran yang berikutnya Parlimen atau Dewan
Undangan itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang berlaku pada atau selepas
tarikh itu.
#deleaks
#infoSelangor
#teamviralSelangor
0 comments:
Post a Comment